Friday, October 18, 2013

AHB umumkan dividen 3.25 sen seunit, serta bonus




KUALA LUMPUR 17 Okt. - Dividen kedua untuk Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2013, diumumkan sebanyak 3.25 sen seunit beserta bonus 1.00 sen seunit.

Dengan pengumuman itu, jumlah keseluruhan dividen AHB untuk tempoh setahun berjumlah 7.50 sen seunit. Pemberian dividen pertama berakhir 31 Mac lalu ialah sebanyak 3.25 sen.

Pembayaran dividen kedua bersama bonus itu akan diagihkan kepada pemegang unit menerusi akuan masing-masing pada 18 Oktober 2013.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) , Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, disebabkan AHB menerima sambutan yang hangat, pihaknya telah menambah 500 juta unit baharu yang boleh dilanggan mulai hari ini.

Itu menjadikan jumlah unit di bawah AHB terkumpul sebanyak dua bilion unit.

"Penambahan ini diharap dapat memberi alternatif kepada kaum bumiputera melabur dalam sektor hartanah secara tidak langsung pada kos yang murah.

"Pemberian bonus yang diumumkan ini juga adalah bagi menghargai pemegang unit yang setia kepada AHB. Kami mahu menjadikan AHB satu bentuk pelaburan jangka panjang dan bukannya akaun bank biasa," katanya pada majlis pengumuman dividen itu di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Asset Management Sdn. Bhd., Nor Azamin Salleh.

Setakat ini, beberapa aset hartanah yang dimiliki mereka terletak di kawasan utama di Lembah Klang seperti Menara Prisma, Jaya 33 dan Menara SapuraKencana yang ketika ini disewa pada kadar 90 peratus daripada kapasiti sebenar.

"Kami akan terus mencari hartanah yang baharu yang menjanjikan pulangan yang tinggi bagi mengekalkan pemberian dividen yang tinggi," katanya lagi.

PHB dan Maybank AM menjangka tambahan unit sebanyak 500 juta unit bakal mendapat sambutan hangat berdasarkan langganan penuh terhadap 1.5 bilion unit yang sedia ada.

"Dijangkakan unit tambahan ini akan dilanggan penuh dalam tempoh tiga hingga lima bulan akan datang," kata Nor Azamin.

Unit tambahan itu boleh dilanggan melalui mana-mana cawangan Maybank di seluruh negara.

0 Comments:

Post a Comment