Tuesday, August 27, 2013

Agihan ASW2020 6.70 sen


KUALA LUMPUR 26 Ogos - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit untuk Amanah Saham Wawasan 2020 (ASW2020) bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.

Pengagihan pendapatan itu meningkat sebanyak 0.10 sen seunit, berbanding pengagihan pendapatan pada tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar agihan ini juga adalah yang tertinggi dalam tempoh lima tahun sejak 2009.

Katanya, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM1.062 bilion, peningkatan sebanyak 9.2 peratus berbanding jumlah pembayaran pada tahun sebelumnya yang berjumlah RM973.16 juta

"Pengagihan pendapatan ini akan dimanfaatkan oleh 899,967 pemegang unit yang telah melanggan 15.8 bilion unit ASW2020," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pengumuman pengagihan pendapatan ASW2020 bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

ASW2020 merupakan dana berharga tetap yang mana 51 peratus daripada saiz yang dibenarkan adalah dibuka kepada masyarakat Bumiputera, manakala 49 peratus dibuka kepada masyarakat bukan bumiputera.

Pelaburan di dalam ASW2020 dibuka kepada warganegara Malaysia berumur seawal enam bulan ke atas.

Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan masing-masing di ibu pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 2 September 2013.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASW2020 menerusi skim pelaburan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Sementara itu, Hamad Kama Piah menambah, ASNB mempunyai kapasiti untuk membayar agihan pendapatan sebanyak 9.0 seunit bagi ASW2020, namun, baki kira-kira 2.3 sen disimpan untuk dibawa ke hadapan.

Katanya, baki itu dapat membantu supaya mengekalkan prestasi ASW2020 dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

"Kami ingin melihat konsisten dalam prestasi pengagihan pendapatan ASW2020," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment