Tuesday, September 25, 2012

Pemilihan MPP UIAM dilangsungkan semula

GOMBAK 25 Sept. - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan mengadakan pilihan raya kampus Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2012/2013 mereka semula ekoran masalah teknikal dikesan pada sistem e-pilihan rayanya hari ini.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Datuk Dr. Mizan Hitam berkata, untuk memberi keadilan kepada semua calon yang bertanding, pihaknya akan mencadangkan kepada Senat untuk diadakan semula pilihan raya berkenaan.

Kata Dr. Mizan, antara masalah teknikal yang dikesan ialah jumlah pengundi yang layak dan didaftarkan tidak selari dengan keputusan yang dikeluarkan oleh e-pilihan raya.

“Sebagai contoh, ada kulliyyah yang mempunyai 300 pengundi didaftarkan tapi e-pilihan raya mencatatkan 2,000 pengundi.

“Jadi untuk lebih adil, kami tidak akan mengumumkan keputusan pilihan raya kampus kali ini.

“'Kami juga akan mencadangkan kepada Senat agar pilihan raya yang akan diadakan itu diadakan secara manual," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau juga menambah, pemilihan itu akan diadakan secepat mungkin. - UTUSAN

0 Comments:

Post a Comment