Wednesday, January 18, 2012

Saman UIAM menindas Pelajar

 SAYA adalah penuntut di UIAM kampus Kuantan. Dalam isu saman, ada dua badan dalam UIAM yang terlibat iaitu Unit Kuatkuasa (Legal Unit) yang menguruskan tentang peraturan universiti dan Unit Sekuriti yang menguruskan hal kerja pengawal keselamatan. 

Ketidakpuasan hati ini telah kami suarakan melalui pemimpin pelajar, tapi jawapan yang diberikan tidak memuaskan. Diharapkan surat melalui media ini dapat membuka mata pihak atasan terhadap masalah kami selaku penuntut dan pembayar yuran pengajian di UIAM.

Pertama, saman yang terlalu mahal. Jumlah saman ini ditetapkan oleh Unit Kuatkuasa adalah RM50 walaupun dengan kesalahan kecil. Jika dibayar dalam tempoh yang diberikan berserta borang rayuan, ia hanya dikurangkan kepada RM25. Jumlah itu masih agak mahal. RM25 mampu menampung kos petrol motosikal kami untuk sebulan. 

Untuk pengetahuan, saman yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuantan hanyalah RM20 dan dapat dikurangkan kepada RM5 sahaja jika dibayar awal walaupun kesalahannya nampak berat. Ternyata saman yang ditetapkan pihak universiti sangat menindas kami. 

Kedua, sikap sesetengah pengawal keselamatan yang boleh kami gelar sebagai ‘gila saman.’ Kami faham mereka hanya menurut perintah, tapi perlu diingat perintah dan peraturan itu ciptaan manusia. Ada satu benda yang tercipta untuk manusia yang patut diambil kira juga iaitu nilai kemanusiaan.

Ada antara kami yang menduduki peperiksaan telah disaman kerana tersilap parking di kawasan parking kakitangan, sedangkan kawasan parking pelajar sangat sedikit dan terpaksa berjalan jauh hampir 150 meter. 

Ada yang membonceng kawannya tanpa memakai helmet hanya untuk beberapa meter sahaja, pengawal terus menyaman tanpa mengambil kira masalah yang dihadapi. Di mana pertimbangan kemanusiaan ketika menyaman, atau mungkin mereka menyangka semua pelajar kaya untuk membayar RM50 kepada universiti.

Ketiga, tugas utama pengawal adalah menjaga keselamatan pelajar dan kakitangan, bukannya menjaga kekebalan peraturan supaya tidak dilangar lalu melambakkan saman kepada pelajar.

Di saat asrama perempuan diceroboh oleh pencuri dari luar dan kecurian motor berlaku di asrama lelaki, di mana pengawal keselamatan yang bertugas? Bila ditanya, mereka persoalkan balik kepada kami, ‘kenapa tak kunci motor dengan rantai’ dan ‘kenapa tak kunci pintu bilik betul-betul’, sedangkan peristiwa itu berlaku di kawasan pengawalan mereka. Mungkin mereka menyangka keselamatan universiti akan terjaga jika semakin ramai pelajar yang disaman.

Keempat, berlaku adillah kepada semua pesalah. Kami para pelajar sangat tidak berpuas hati, di saat pelajar disaman, ada kakitangan yang melakukan kesalahan trafik yang sama tetapi tidak disaman. 

Mungkin kes ini kerana terlepas pandang. Pernah berlaku dalam kawasan UIAM ketika seorang sahabat saya penunggang motosikal telah dilanggar oleh kereta seorang pekerja dari luar. 

Pihak pengawal yang datang hanya menonton, tiada tindakan diambil kerana pemandu kereta itu bukan kakitangan UIAM dan sekadar menyuruh rakan saya selesaikan masalah itu sendiri. Di mana keadilan dan kehebatan saman anda waktu itu wahai pengawal keselamatan UIAM. 

Akhirnya, diharapkan pihak pentadbiran mengambil kira kesusahan yang kami alami ini. Kami tidak mengharapkan alasan dan jawapan, kami mengharapkan tindakan susulan. 

Kepada pihak keselamatan, kami menghargai jasa anda selama ini. Tapi kami akan lebih hargainya jika suara kami ini didengar dan diambil kira.
Published with Blogger-droid v1.7.4

0 Comments:

Post a Comment