Friday, January 27, 2012

Reds mahu singkir United pula



Ketua pasukan Liverpool, Steven Gerrard menggesa penyokong supaya menjaga tingkah laku apabila Manchester United bertandang di Anfield pada perlawanan pusingan keempat Piala FA, hari ini.

Pertemuan tersebut adalah yang pertama buat kedua-dua pasukan sejak penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana melemparkan kata-kata perkauman terhadap pertahanan United, Patrice Evra.

Ketika Suarez masih menjalani hukuman, Evra dijangka beraksi untuk United dan Gerrard mahu penyokong Reds terus memberi sokongan kepada skuad Kenny Dalglish.

“Fair Play menjadi keutamaan dan ia telah lama diperjuangkan. Kita semua ada tanggungjawab untuk memastikan perlawanan ini akan terus dikenang sukan bola sepak.


“Liverpool dan Manchester United merupakan pesaing utama dan sudah tentu ia menjadi topik dalam akhbar-akhbar, juga usik-mengusik sesama penyokong.

“Kami tidak mahu sebarang berita muka depan yang dilaporkan mengenai isu selain daripada perlawanan ini dan berharap pasukan terbaik akan mencapai kemenangan,” katanya.

Keyakinan Reds semakin memuncak selepas menang 3-2 secara agregat ke atas Manchester City yang membawa Liverpool ke perlawanan akhir Piala Liga di Wembley bulan depan.

Liverpool yakin dapat mengekalkan momentum pada pertemuan menentang skuad Alex Ferguson.

Gerrard turut menolak andaian bahawa United merupakan pasukan pilihan hari ini, kerana mereka bakal tampil lebih cergas setelah tidak terlibat dalam perlawanan pertengahan minggu.

“Para pemain lebih daripada bersedia untuk perlawanan hujung minggu ini. Ia sudah tentu hebat jika anda bukan sekadar berpeluang menyingkirkan City daripada saingan Piala Liga, tetapi juga United dalam Piala FA.

“Kami meletakkan satu penanda aras ketika menentang City. Kami perlu memastikan usaha keras yang sama esok. Saya yakin kami mampu mengharunginya,” tambah Gerrard

0 Comments:

Post a Comment