Sunday, May 01, 2011

Sistem beraja penyeri dunia

Utusan :

"JUMAAT lalu pewaris takhta Britain, Putera William, 28 tahun melangsungkan perkahwinan dengan Kate Middleton yang disaksikan kira-kira dua bilion penonton melalui televisyen di seluruh dunia.

Itu belum lagi dikira penonton melalui Internet.Tidak syak lagi bahawa perkahwinan diraja ini menarik minat dunia, walaupun sebahagian besar daripada mereka tentunya tidak ada kaitan dengan Britain.

Juga ternyata bahawa keluarga diraja Britain ini adalah paling dikenali dan popular di dunia yang kini mempunyai 43 negara mengamalkan sistem beraja.

Apa saja isu mengenai keluarga diraja Britain, pastinya menarik perhatian dunia

Buat masa ini, 16 daripada negara-negara itu menganggap Ratu Elizabeth II sebagai raja mereka. Baginda adalah satu-satunya raja yang menjadi ketua negara bagi begitu banyak negara di dunia, iaitu selain daripada negaranya sendiri. Semua negara-negara itu adalah bekas tanah jajahan dan terus mahukan supaya raja Britain menjadi ketua negara mereka.

Namun begitu, bukanlah tidak ada gerakan yang mahu memansuhkan sistem beraja di negara-negara itu. Di Australia yang pernah menjalankan pungutan suara untuk menentukan sama ada mahu mengekalkan sistem itu dan ternyata lebih banyak rakyatnya yang masih mahu mengekalkan sistem beraja tetapi juga di Britain sendiri.

Kumpulan yang menentang sistem beraja di Britain bernama Republic Campaign. Menjelang majlis perkahwinan Kate dan William ini, mereka turut berkempen memperjuangkan supaya Britain dijadikan republik.

Walaupun kumpulan ini mempunyai pengikut tetapi majoriti rakyat Britain kelihatan bergembira dengan sistem beraja dan turut menyambut majlis perkahwinan diraja dengan rasa gembira dan bangga.

Perubahan

Tetapi bukan hanya mereka yang seronok mengikuti majlis perkahwinan diraja itu, tetapi juga orang ramai di seluruh dunia. Hakikatnya, sistem beraja Britain ini menjadi penyeri dunia.

Dalam sejarah manusia, sistem beraja muncul sebagai perkembangan tamadun ekoran perubahan cara hidup manusia daripada berburu kepada pertanian.

Daripada sistem beraja inilah wujudnya empayar-empayar besar. Ada masa-masa tertentu muncul juga sistem republik pada zaman Yunani dan juga Rom. Tetapi umumnya semua empayar dan kerajaan kembali kepada sistem beraja.

Ketika zaman imperialisme, Britain muncul sebagai empayar besar di bawah raja-raja mereka. Walaupun kemudian muncul kesedaran demokrasi di negara itu dengan mempelopori sistem pengehadan kuasa raja melalui Magna Carta, sistem monarki kekal di situ.

Hanya apabila wilayah-wilayahnya di Amerika Utara memberontak untuk membentuk Amerika Syarikat, maka muncullah sebuah republik yang bukan saja menolak pemerintahan Britain tetapi juga sistem beraja.

Namun begitu, sebahagian wilayah jajahan Britain di Amerika Utara iaitu Kanada tidak pula mahukan sistem republik. Walaupun kemudian menjadi sebuah negara merdeka, Kanada tetap mahukan sistem beraja dikekalkan dengan ketua negaranya adalah yang sama dengan apa yang dimiliki Britain.

Tetapi revolusi terbesar yang menumbangkan sistem beraja berlaku di Perancis, tidak lama selepas Amerika Syarikat ditubuhkan. Itupun apabila Napoleon Bonapharte muncul, Perancis kembali mengamalkan sistem beraja. Kini Perancis adalah sebuah republik.

Dari segi teorinya tentulah dalam demokrasi, iaitu pemerintahan oleh rakyat, negara seharusnya berbentuk republik. Ini kerana sesiapapun warganegara ada peluang menjadi ketua negara, dan tidak terhad kepada keluarga diraja.

Tetapi sepanjang sejarah dunia, sistem republik tidak menjamin demokrasi dan keadilan. Ada kalanya republik lebih menindas rakyat dan menafikan hak warganegara. Sebaliknya sistem beraja boleh menjadi demokratik melalui perlembagaan.

Di dunia hari ini, terdapat 38 negara, termasuk Malaysia yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Banyak negara itu pula bukan saja demokratik dan stabil tetapi maju.

Tiga negara Scandinavia iaitu Denmark, Norway dan Sweden umpamanya dikenali berada dalam rantau paling maju, demokratik dan stabil memiliki sistem raja berperlembagaan.

Mereka juga dikenali sebagai negara berkebajikan melalui pentadbiran popular yang diasaskan oleh parti-parti sosial demokrat atau sosialisme demokratik.

Inilah ironinya dengan sejarah fahaman politik. Sosialisme Demokratik ini mempunyai asal yang serupa juga dengan Komunisme. Mereka lahir daripada Revolusi Industri sebagai usaha membela pekerja-pekerja yang tertindas oleh kapitalis-kapitalis yang memiliki kilang pada kurun ke-19.

Sambutan Hari Buruh iaitu pada 1 Mei yang jatuh pada hari ini adalah manifestasi kepada perjuangan membela para pekerja yang tertindas itu. Tentulah dalam perjuangan menuntut persamaan hak dan kebajikan ini, mereka melihat bangsawan dan tentunya raka-raja sebagai penindas.

Namun gerakan sosialisme ini berpecah dua. Yang satu dinamakan komunis, manakala satu lagi dinamakan sosial demokrat.

Golongan komunis mengambil sikap menolak sistem beraja dan mengambil jalan revolusi. Maka antara hasil perjuangannya ialah Revolusi Rusia pada tahun 1917. Mereka bukan saja menggulingkan rajanya dan menubuhkan republik komunis tetapi juga membunuh semua ahli keluarganya.

Penghormatan

Tetapi ternyata sistem komunis di Rusia tumbang. Kesatuan Soviet dimansuhkan dan digantikan dengan sebuah negara demokratik . Walaupun Persekutuan Rusia sekarang merupakan sebuah republik, tetapi mereka mengambil lambang raja mereka dahulu sebagai simbol negara. Ternyata mereka memberi penghormatan kepada raja yang pernah mereka gulingkan.

Sebaliknya fahaman sosial demokratik percaya perjuangan untuk rakyat wajar melalui sistem demokrasi pilihan raya. Mereka tidak menentang sistem beraja.

Maka parti-parti sosial demokrat memerintah dari masa ke semasa di banyak negara Barat dengan mengekalkan sistem beraja, walaupun berbentuk perlembagaan.

Antara parti-parti ini termasuklah Parti Buruh di Britain, Australia, Kanada dan New Zealand yang terus mahu mengekalkan raja sebagai ketua negara mereka.

Ketika Britain menjajah banyak wilayah di dunia, mereka terus mengekalkan sistem beraja di tanah-tanah kekuasaannya termasuk India dan Tanah Melayu.

Hanya selepas Perang Dunia Kedua, Britain mahu menghapuskan sistem beraja di Tanah Melayu melalui Malayan Union. Gagasan ini mengubah kedudukan Tanah Melayu daripada wilayah naungan dengan kedaulatan pada Raja-raja Melayu kepada tanah jajahan di bawah raja Inggeris.

Andai kata orang Melayu tidak menentang Malayan Union dahulu, mungkin akhirnya Malaya merdeka juga, tetapi dalam bentuk republik. Ternyata usaha menentang Malayan Union membawa kepada pengukuhan sistem beraja di negeri-negeri Tanah Melayu hingga akhirnya mewujudkan Malaysia.

Pada zaman menentang imperialisme sekitar tahun 60-an, dapat dilihat kemunculan banyak republik baru di Afrika dan Asia.

Setelah 50 tahun berlalu, banyak republik-republik ini menjadi negara gagal di mana rakyatnya terus susah akibat kemunduran negara.

Sebaliknya Malaysia bertuah. Walaupun mengamalkan sistem beraja yang paling unik, negara ini berjaya lebih maju daripada republik-republik lain.

Tradisi Raja-raja Melayu pula mempunyai sejarah silam sejak zaman kerajaan Champa dan Sri Wjjaya. Sistem kerajaan Melayu bertebaran di seluruh Nusantara, dari Pattani hinggalah ke Manila.

Apabila masuk ke era moden, banyaklah kesultanan ini dimansuhkan, sebahagiannya oleh penjajah tetapi banyak daripada oleh gerakan nasionalis sendiri.

Di Sumatera, Raja-raja Melayu dimansuhkan semasa Revolusi Indonesia. Kini sistem beraja Melayu hanya kekal di dua negara iaitu Malaysia dan Brunei. Tetapi kedua-dua negara ini, atas banyak faktor adalah lebih makmur daripada negara-negara yang memilih sistem republik di Asia Tenggara.

Sememangnya tidak boleh dikatakan sama ada republik atau sistem beraja yang menjamin kejayaan sesebuah negara. Ini kerana terlalu banyak faktor yang perlu diambil kira.

Tetapi rekod membuktikan sesuatu kejayaan. "

0 Comments:

Post a Comment